Saturday, July 3, 2010

Sejarah Penubuhan

Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga Sungai Daun telah ditubuhkan pada 1 Julai 1963 di atas tapak seluas 10.5 relung (1.5 km persegi).Tanah tersebut dibeli dengan harga RM 1.500.00 hasil 'pakatan' dan kutipan daripada masyarakat setempat. Pada awal penubuhan sekolah ini, sedikit masalah timbul apabila geran tanah yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Yan menunjukkan keluasan tanah yang diambil melebihi keluasan tapak yang telah dibayar harganya. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, maka ahli jawatan kuasa masjid telah bersetuju untuk menyumbangkan RM 1,000.00 kepada tuan tanah terbabit supaya tapak tersebut diserahkan dan projek dapat berjalan lancar.

Setelah segalanya selesai, sebuah bangunan telah didirikan. Bangunan tersebut sekarang dikenali sebagai bangunan "A". Tuan Haji Wan Abdullah Bin Wan Mahmud telah dilantik sebagai Guru Besar pertama pada 1 Julai 1963. Enam tahun kemudian, pihak sekolah bersama penduduk-penduduk kampung telah memohon bangunan tambahan memandangkan bilangan murid yang semakin bertambah. Akhirnya pada awal tahun 1964, sekolah telah mendapat sebuah bangunan baru yang mampu menempatkan 6 bilik darjah. Bangunan tersebut kemudian dirasmikan oleh yang Berhormat En. Hussein Bin Onn, Menteri Pelajaran Malaysia pada 18 April 1971.

Pada tahun 1988, Ahli Lembaga Pengurus Sekolah bersama pentadbir telah berbincang untuk membina dua buah bilik darjah dengan kos RM 25.000.00 melalui gotong -royong. Bangunan tersebut disambung dengan Bangunan "B". Pada November 1995, dua lagi bilik darjah dibina atas permintaan sekolah untuk menampung bilangan kelas. Bangunan tersebut telah siap pada pertengahan Disember 1995 dan dirasmikan pada 21 Disember 1995 oleh Dr. Abdul Rahman Bin Mat, Pegawai Khas 1 Kepada Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dato' Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak.

Sosio Ekonomi Penduduk
Hampir 95% waris murid Sek.Keb. Simpang Tiga Sungai Daun bekerja sebagai petani dan pesawah. Hanya 5% sahaja yang bertugas dengan sektor awam dan swasta. Kebergantungan kepada hasil sawah semata-mata, menjadikan kehidupan masyarakat sekitar sekolah agak sukar terutama jika hasil pertanian tidak menjadi. Walaupun pendapatan 2 kali tahun (2 musim) menyukarkan lagi penduduk kawasan setempat, lebih-lebih lagi waris yang mempunyai anak yang ramai. Purata pendapatan hasil padi pada ketika itu adalah sekitar RM 400 sebulan. Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat sudah tentu bebanan juga bertambah.

Pengasas Sekolah

HAJI YUSOP BIN HAJI SHAFIE dilahirkan di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, kira-kira 16 kilometer dari bandar Alor Setar dalam tahun 1911 Masihi. Ketika berumur 20-an beliau telah mendirikan rumah tangga dan berhijrah/berpindah lalu menetap di Kampung Batu 14 Simpang Tiga Sungai Daun. Di kampung ini beliau dengan ikhlas telah membuka kelas pengajian agama kepada penduduk setempat sehingga dianggap Tok Guru oleh penduduk-penduduk setempat.

Pada tahun 1960an beliau bersama-sama penduduk kampung telah bermesyuarat untuk membuka sebuah sekolah bagi mendidik anak-anak mereka. Kutipan dibuat daripada penduduk-penduduk kampung, setelah wang tersebut mencukupi, mereka telah membeli sebidang tanah seluas 1 setengah relung untuk dijadikan tapak bangunan sekolah.

Bermula 1963 sebuah bangunan sekolah tersebut dibuka dan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengurus yang pertama sekolah ini sehingga tahun 1986. Semasa beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah, banyak pembaharuan yang beliau telah jalankan termasuk memohon bangunan baru dan lain-lain lagi.

Pada pertengahan November 1986, beliau telah diserang barah telinga ketika usia beliau menjangkau 75 tahun. Pada 20.November 1986 jam 10.10 malam beliau telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Tempat beliau digantikan oleh Haji Ariffin bin Haji Mahmud.

No comments:

Post a Comment